Perspektif Baru Pengurangan Sisa Pepejal



Abdul Rahman Mahmud

Persoalan besar yang bakal dihadapi oleh lebih 6 bilion masyarakat dunia pada masa hadapan adalah, bagaimana untuk mengurus sisa pepejal secara lestari ? Ini kerana peningkatan jumlah sisa pepejal secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan suhu atau lebih dikenali sebagai ‘Pemanasan Global’. Pembukaan tapak pelupusan sisa pepejal akan membebaskan gas metana yang boleh menipiskan lapisan ozon. Mampukah manusia meneruskan kehidupan dalam persekitaran panas mencecah suhu 52 darjah celcius setiap hari. Pada ketika itu sudah tentu, sumber air semakin mengontang, tumbuhan tidak dapat hidup subur dan masalah kesihatan akan bertambah. Oleh itu, penyelesaian dalam konteks mengurangkan penjanaan sisa pepejal amat penting dilaksanakan.


Amalan lama pengurusan sisa pepejal menekankan aspek ‘pelupusan’ sisa pepejal dan tidak memberi fokus kepada aspek ‘pengurangan’ sisa pepejal. Ini menyebabkan jumlah sisa pepejal semakin bertambah dan turut mendorong kepada pembukaan tapak pelupusan sisa pepejal yang lebih banyak. Pelbagai isu timbul akibat kelemahan pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal. Ini termasuklah isu berkaitan rekabentuk tapak pelupusan yang tidak mengikut spesifikasi kejuruteraan alam sekitar yang baik dan isu lokasi tapak pelupusan sampah. Disamping itu juga tapak pelupusan sampah memberikan impak pencemaran seperti pencemaran air larut resap (leachate) dan pembebasan gas metana (CH4) ke udara.

Penyelesaian terbaik ke arah mengatasi masalah tersebut adalah dengan mengambil pendekatan mengurangkan penjanaan sisa pepejal. Strategi ke arah pengurangan sisa pepejal perlu mengambil kira pelbagai aspek. Ini termasuklah dengan mengiatkan program kitar semula, merubah sifat – sifat produk yang dihasilkan dan juga melaksanakan insentif berbentuk kewangan bagi memastikan pengurangan sisa pepejal berlaku.

Amalan kitar semula 3R : Kurangkan, Guna semula dan Kitar semula merupakan pendekatan paling berkesan untuk mengurangkan penjanaan sisa pepejal. Konsep 3R boleh diamalkan di semua peringkat sama ada di dalam industri mahupun di rumah.

Berikut merupakan panduan bagi menjayakan program kitar semula :-

Mengenalpasti jenis sisa yang dihasilkan.
Sisa yang telah dikenalpasti perlu diasingkan mengikut jenis. Misalnya kertas, plastik, sisa makanan dan botol kaca.
Selepas itu kita perlu memilih kaedah mana yang sesuai untuk di amalkan dalam menguruskan sisa yang terhasil ini. Sama ada ia boleh diguna semula, di kitar semula atau mengurangkan penggunaanya untuk masa akan datang.
Menilai pengurangan sisa pepejal yang dihasilkan.


Apabila menyebut mengenai ‘sampah’ ramai yang beranggapan bahawa sampah merupakan entiti yang tidak bernilai kepada kita. Bagi mereka yang bijak sampah boleh ditukar menjadi wang seandainya kita tahu menguruskanya dengan baik. Industri kitar semula dan pemerolehan semula barangan dan bahan kimia terpakai menjanjikan pulangan lumayan. Kitar semula tin aluminium, bateri terpakai, plastik dan kertas terpakai boleh menjana keuntungan.

 
Journal Alam Sekitar © 2008 | Créditos: Templates Novo Blogger